Sabtu, 12 Mac 2011

MENCINTAI AHLULBAIT SUMBER RAHMAT BUAT UMMAT






tarikh: 6 rabiulakhir 1432H
tempat: fi baiti
masa: petang


nas akan hak-hak yang perlu dipelihara bagi ahlulbait

Ahlul-bait mempunyai beberapa hak yang harus dipelihara dengan baik oleh umat Islam. Antaranya, hak ke atas harta ghanimah, hak diselawati, hak untuk dicintai, diutama dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.

Memperolehi harta ghanimah

Allah SWT telah menentukan hak untuk mereka sebanyak seperlima dari harta ghanimah (harta rampasan perang).

Firman Allah SWT : "Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil"(Al-Anfal:41)

Tiada perbezaan pendapat mengenai harta ghanimah pada Aal Muhammad SAW, iaitu ahlul-bait baginda, Ummuhatul Mukminin, serta kerabat baginda dari Bani Hasyim.
Nash memperolehi hak selawat dari umat Islam

Ahlul-bait juga memperolehi hak ucapan selawat dari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, yang ertinya seperti berikut:"Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."
(Kedudukan selawat ini ialah di belakang rukun tahiyyat akhir setiap solat).

Pernyataan Rasulullah SAW dalam sepotong Hadeeth dari Imam Malik yang berasal dari Nu'aim Al-Mujmar, berbentuk seperti berikut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau."

Ibnu Abdil-Barr menunjuk kepada sebuah Hadeeth Ibnu Humaid As-Saidi yang antara lain dengan erti seperti berikut: " Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya."

Sebuah Hadeeth lain pula menyebut:" Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad." Maksud Hadeeth yang kedua ini menyimpulkan makna Hadeeth yang sebelumnya. Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah mengemukakan suatu Hadeeth lain yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda : "Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra." Para sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?". Baginda menjawab :"Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad."

Kesimpulannya, para Aal dan ahlul-bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam dimana sahaja mereka berada.


Nash mengenai pengharaman mengambil zakat oleh ahlul-bait

Ahlul-bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima sedeqah (termasuk zakat) yang disebut sebagai kotoran harta manusia.

Dari Abdul Muthalib ibnu Rab'ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda : " Sesungguhnya sedeqah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad ." (HR Muslim)

Tentang Hadeeth riwayat Muslim ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: "Kotoran manusia artinya ; zakat membersihkan harta dan jiwa mereka . `Allah Ta'aala berfirman : "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkaan dan mensucikan mereka." (At-Taubah :103)

Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul-bait diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka dan meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, ahlul-bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya." (Al-Ahzab :33)

Alasan inilah yang menyebabkan ahlul-bait Rasulullah SAW tidak mengambil sedekah (zakat) semasa baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya.
Nash kecintaan Rasulullah SAW pada ahlul-bait baginda dan pesanan agar umat Islam mencintai mereka

`Ali RA menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama `Ali, Fatimah, Hassan dan Hussein. Kemudian baginda bersabda : "Ya Allah, ridhoilah mereka sebagaimana aku ridho kepada mereka."

Hadeeth riwayat At-Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hassan dan Al-Hussein."

Imam Muslim pernah meriwayatkan sebuah Hadeeth Rasulullah SAW mengenai Al-Hassan yang menyebut: "Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya."

At-Thabarani dan lain-lain mengketengahkan sebuah Hadeeth yang bermaksud; "Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri ."

Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tarmizi dari `Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :"Barangsiapa mencintai kedua orang ini, yakni Hassan,Hussein dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat."

Ibnu `Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah ahlul-baitku kerana mencintaiku

" Ad- Dailami meriwayatkan sebuah Hadeeth dari `Ali RA yang menyebut sabda Rasulullah SAW: "Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada ahlul-baitku dan para sahabatku."

Dalil Hadeeth-Hadeeth di atas amat jelas dan nyata akan suruhan- suruhan dan pesananpesanan Rasulullah SAW agar umat Islam mencintai para ahlul-baitnya demi cinta dan ketaatan mereka pada baginda Rasulullah SAW sendiri.



Abuya Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani


Nash mengenai keutamaan ahlul-bait


Diriwayatkan oleh At-Thabarani, bahawa Jabir RA mendengar `Umar ibnu Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika mengahwini Ummu Kalthum binti `Ali bin Abu Thalib : "Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ` Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku'. "

Hadeeth ini bermaksud bahawa dalam keadaan kekelamkabutan dan huru- hara yang berlaku pada Hari Kiamat kelak, yakni sebelum berlakunya proses penghisaban, semua manusia akan menjadi `nafsu-nafsi', iaitu hanya tertumpu semata-mata memikirkan nasib dan keselamatan dirinya sahaja, tidak akan ada orang yang dapat memberi pertolongan kepada orang lain, baik keturunannya mahupun kerabatnya, kecuali Rasulullah SAW sendiri yang diberikan keistimewaan untuk menghulurkan pertolongan kepada nasab dan kerabat baginda yang beriman dengan Allah dan RasulNya, selain kepada umat baginda yang lainnya.

Sebuah Hadeeth Thaqalain riwayat Zaid bin Al-Arqam RA menyebut : "Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya.dan (kedua) :Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!"

Dengan menyebut pesanan mengenai Ahli-Bait Nabi sebanyak dua kali, adalah sebagai suatu bentuk tekanan dan penegasan pada umat supaya perihatin terhadap apa yang menjadi hak dan kewajiban keturunan Rasulullah SAW.

Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dalam Hadeeth lain: "Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi."

Sebuah Hadeeth riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut : "Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkaan ahlul-baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi ahlul-baitku, mereka akan berselisih kemudian menjadi kelompok Iblis."

Sebuah lagi Hadeeth Rasulullah SAW dari Abu Dzar menyatakan :" Ahlul- baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa." (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir)

Abu Dzar Al- Ghiffari RA menuturkan bahawa ia mendengar sabdaan Rasulullah SAW :""Jadikanlah ahlul-baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala."

Tegasnya, keutamaan ahlul-bait Rasulullah SAW diperakukan dalam hukum syarak mengikut nash hadeeth-hadeeth mutawatir yang tidak harus menimbulkan sebarang kekeliruan ataupun perselisihan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh khabar yang sahih bahawa keturunan baginda, Al-Mahdi akan menjadi khalifah akhir zaman kepada umat Islam.

Hadeeth riwayat Imam At-Tarmidzi, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : "Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku."

Dari Tufail dari `Ali RA Nabi SAW bersabda : " Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman."

Nash yang menyuruh umat Islam menghormati serta membantu ahlul-bait

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menegaskan:"Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada" Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan sebuah Hadeeth :"

Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya."

At-Thabarani pula mengketengahkan Hadeeth dari Abdullah ibnu `Umar RA yang mengatakan: "Allah SWT menetapkan tiga `hurumat' (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik tiga `hurumat' itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya.

Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu ya Rasulullah?
Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku."

Nash yang menyuruh umat Islam menjaga hubungan ahlul-bait dan mengelakkan membenci mereka.

Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW :"Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami, ahlulbait melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka." (HR Al-Hakim) Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk berangkat hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya : "Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka". Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda dengan nada gusar bersabda : " Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah."




At-Thabarani juga meriwayatkan Hadeeth dari Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri dengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: " Hai manusia, barangsiapa membenci kami, ahlul-bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi."



Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dalam sebuah Hadeeth Marfu', bahawasanya Rasulullah SWT telah menegaskan: "Siapa yang membenci ahlul-bait ia adalah seorang munafik."

Umat Islam harus mengambil pengajaran dari pesanan-pesanan baginda Rasulullah SAW dalam menjaga adab dan perhubungan dengan para ahlul- baitnya, serta memelihara diri dari bersikap negatif dan mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan
sebahagian dari ajaran agama Islam.


dipetik daripada blog: rajaahmad.blogspot.com

Sabtu, 5 Februari 2011

MARHABAN YA RASULULLAH



Tarikh: 1 RABIULAWAL 1432H
Tempat: BCH
Masa: 12.40 tgh
MARHABAN YA RASULULLAH.... MARHABAN YA JADDAL HUSSIENI...MARHABAN YA HABIBULLAH...YA SAHIBAL AZMAN...
RABIULAWAL bakal menjelang lagi. Bagaimanalah hendak digambarkan perasaan faqir ilallah ini… Sudahlah menyebut cinta kepada baginda melalui selawat pun masih dipaksa-paksa diri ku ini. Apatah lagi hendak menghayatinya dengan sepenuh jiwa dan raga. Malunya aku wahai kekasih junjungan. Tuan terlalu tinggi untuk didampingi. Namun hati ini terlalu rindu ingin bertemu. Hanya dengan mentaati dan mencintai pemimpin zaman ini maka rindu itu terubat sedikit. Ya mursyidku, pimpinlah anak-anak mu ini menuju cinta teragung. Kami tak mampu sendiri . Kami perlukan jemaah Islam ini bagi memnyempurnakan perjalanan hidup mati kami. Ya Habiballah, alangkah peritnya menunggu janji mu yang pasti di akhir zaman ini. Perit kerana sentiasa diperangi nafsu dan syaitan yang hasad dengki. Perit kerana kami bagai terasing di tengah manusia. Memang terbukti hadis mu “Islam itu dagang, datangnya dagang dan akan kembali dagang”
Kami menunggu dengan penuh rindu. Datanglah segera, selesaikanlah permasalahan dunia ini, wahai sang Penyelamat dunia

terimalah hadiah kami bersempena hari lahir mu yang teramat mulia dan suci

"YA Allah sampaikanlah salam rindu kepada, cahaya sebagai sumber segala cahaya. Rahsia segala rahsia, ubat seluruh penyakit, anak kunci segala kejayaan. Dialah pemimpin yang kami rindu, Nabi MUhammad yang terpilih, keluarganya yang suci, serta para sahabat yang menjadi pilihan, sebayang bilangan nikmat Mu dan kemuliaan Mu Ya Allah... Allahumma solli ala Muhammad, wa ala alihi wa ashabihi wa salam"

Artikel ini dipetik daripada blog ibnuyaacob.com
oleh: Malakian/25 okt 2009

"Wahai Tuhanku Allah rabbul alamin, jadikan kami dan keturunan kami seluruhnya dalam golongan al-imamul mahdi Muhammad bin Abdullah Assuhaimi dan Fata attamimi"

Ramai umat Islam nanti pada mulanya tidak dapat menerima Imam Mahdi dan pengikut-pengikutnya kerana tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka. Ini kerana perjuangan mereka meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya dan boleh merosakkan masa depan mereka, lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang mencabar ini di mana duit, kehormatan, status quo adalah segala-galanya. Ini beberapa petikan artikel Harun Yahya tentang pengikut Imam Mahdi yang saya terjemahkan di blog saya:

TELAH DIRIWAYATKAN DALAM SEBUAH HADITH BAHAWA PARA PENGIKUT IMAM MAHDI AKAN TIDAK MEMPUNYAI KAWAN SELAIN ANTARA MEREKA, SEHINGGAKAN JIKA MEREKA SESAT, TIDAK AKAN ADA SIAPA MENCARI MEREKA. INI MENUNJUKKAN PANDANGAN NEGATIF MASYARAKAT YANG TINGGAL BERSAMA MEREKA, KELUARGA MEREKA, DAN SAUDARA MEREKA TERHADAP MEREKA:

Baginda bersabda: Carilah mereka di penghujung dunia. Kehidupan mereka adalah sederhana, rumah mereka di belakang mereka, jika mereka hadir mereka tidak akan dikenali, JIKA MEREKA SESAT JALAN, TIDAK ADA SESIAPA YANG AKAN MENCARI MEREKA, JIKA MEREKA SAKIT TIDAK ADA SIAPA AKAN MELAWAT MEREKA, jika mereka ingin berkahwin, tidak ada siapa akan menerima lamaran mereka. SEKIRANYA MEREKA MATI, TIDAK ADA SIAPA YANG AKAN HADIR PENGEBUMIAN MEREKA. Mereka berkongsi harta benda mereka sama rata antara mereka dan melawat kubur masing-masing; impian mereka adalah sama, walaupun mereka tinggal di bandar yang berlainan.

(Sheikh Muhammad bin Ibrahim Nomani, al-Ghaybah al-Nomani, p. 23).

**********************************************************************************************

Oleh kerana, seperti yang disebut selalu, al-Qur’an itu adalah wahyu yang diturunkan sesuai sepanjang zaman, Imam Mahdi dan pengikutnya tidak mempunyai petunjuk lain selain al-Qur’an dan Sunnah Nabi s.a.w. Mereka ini akan menerima tekanan yang hebat bukan hanya daripada media-media tempatan dan antarabangsa yang akan memburuk-burukkan mereka, tetapi lebih daripada itu, keluarga mereka sendiri akan berusaha supaya orang-orang muda pengikut Imam Mahdi ini meninggalkan Imam Mahdi. Inilah yang berlaku kepada orang-orang muda di zaman Nabi yang ditekan oleh keluarga mereka agar keluar daripada agama Islam. Maka kita akan melihat sejarah berulang kembali, bermaksud, pendokong agama Allah akan menerima jenis ujian yang sama.

Maka oleh kerana kehidupan Imam Mahdi dan pengikut-pengikutnya berpakaian sederhana, dan menyebabkan sebahagian anak muda meninggalkan keluarga mereka untuk berjuang bersama Imam Mahdi, maka mereka dipandang negatif oleh masyarakat, seperti mana Nabi Isa, Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikut baginda dipandang negatif oleh masyarakat.

Kita boleh mengatakan, di waktu ini, huffaz al-Qur’an masih banyak. Kita menghormati mereka kerana jasa mereka. Tapi kita juga perlu melihat sama ada waktu yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. ini telah sampai atau pun tidak:

Dari Ali r.a., katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Sudah hampir suatu zaman, yang mana ketika itu tidak ada lagi yang tinggal dalam Islam kecuali namanya sahaja, tidak ada yang tinggal dalam al-Qur;an kecuali tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah. Ulama’ mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Dari merekalah keluar fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.” (Hadith Riwayat Baihaqi).


Sudah tentulah kita bukan mengatakan semua ulama’. Tapi berikan perhatian kepada perkataan Nabi tentang masjid yang tersergam indah. Tidak perlu disebut nama masjid-masjid yang tersergam indah di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Maksudnya, zaman yang dikatakan oleh Rasulullah itu telah sampai.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui siapakah yang beriman kepada Allah, Rasul dan KitabNya? Iaitu mereka yang berpegang dengan ajaranNya walaupun terpaksa hidup dalam kesusahan. Dan wahyu terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhamad s.a.w. adalah tentang riba’. :

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman…Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan). (Al-Baqarah: 278-281). Ibn Abbas berkata: Ini adalah wahyu terakhir yang diturunkan kepada Nabi. (Sahih Bukhari).

Maka apa yang perlu diberi perhatian ialah wahyu yang terakhir ialah tentang riba’ (sila kaji tentang pelbagai jenis riba’ dalam ekonomi moden). Maka seperti mana wahyu pertama ialah Iqra’ yang di mana ulama’ sering menegaskan kepentingan membaca, maka wahyu terakhir adalah tentang riba. Maka ada sesuatu rasional yang besar daripada Allah meletakkan larangan riba’ sebagai wahyu terakhir, terutama kepada kita umat akhir zaman.

Mereka yang beriman akan memerangi riba’ ini dalam dirinya, keluarganya dan masyarakatnya. Jadi mereka yang faqih dan huffaz dalam al-Qur’an akan memerangi riba’ ini walaupun mereka terpaksa menggenggam bara api:

Dari Anas r.a. katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sampai masanya nanti, yang mana orang yang sabar berpegang teguh kepada agamanya sama seperti orang yang memegang bara api.” (Hadith Riwayat Tirmizi.)

Inilah mereka yang benar-benar faqih dan huffaz, bukan hanya menghafal tetapi mengamalkannya walaupun terpaksa menanggung derita; tidak dapat mengecapi nikmat keduniaan sementara kerana menolak riba’. Mungkin mereka tidak menjadi huffaz ataupun faqih al-Qur’an dalam erti kata zaman sekarang, iaitu mereka tidak dapat menghafal keseluruhan al-Qur’an itu kerana kengkangan hidup, kebolehan intelektual dan memori, tetapi mereka inilah yang menjadi faqih dan huffaz yang mengamalkan ajaran al-Qur’an walaupun terpaksa menggenggam bara api.

Perlu diingatkan bahawa riba’ itu bukan hanya meminjamkan duit dengan faedah yang di mana banyak manusia sekarang terlibat dengannya, tetapi jenis-jenis riba’ ini banyak:

“Abu Hurairah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: “Riba itu terbahagi kepada 70 macam jenis dan dosa yang paling kecil daripadanya bersamaan seperti seorang lelaki bernikah (iaitu menjalinkan hubungan kelamin) dengan ibunya sendiri”. (Hadith Riwayat Ibn Majah dan Baihaqi).

Ibn Abbas berkata: “Mereka yang pertama mengikut Dajjal terdiri daripada 70,000 orang Yahudi dari Isfahan… dan di antara tanda-tanda bahawa telah keluarnya Dajjal adalah… pengamalan riba.” (Ishaq ibn Basheer dan Ibn Asakir di dalam Kanz al-Ummal.)

Selasa, 25 Januari 2011

HIKAYAT INTERLOK DAN KELING



Tarikh: 20 Safar 1432H
Masa: 5.30 ptg
Tempat: ziarah Rumah Amal Budi Bestari

As salam wbkt kepada semua kawan dan taulan di luar sana.
Lama amat aku tidak menulis di blog ini lagi. Meski banyak waktu aku telah usahakan menulis lagi di sini tapi Allah tidak izinkan nampaknya. Sempenan tahun baharu hijrah yang sudah berlalu 1 bulan ini aku harap Allah dan rasul berkenan melunakkan hati kita bagi dipimpin ke jalan kebenaran. Janganlah sampai kita termasuk orang-orang yang rugi di dunia akhirat….
Aku menulis tentang hikayat ini sebagai pembuka bicara 1934H ini bukanlah hendak menimbulkan kontroversi rakyat 1 malaysia yg berbilang kaum. Hanya sekadar menulis pandangan aku sebagai seorang penulis muda( yg belum pandai apa-apa) dan seorang anak melayu yang berbangga dengan sasterawan yang memartabatkan sastera dan budaya bangsa( asalkan seiring dan tidak melanggar syariat Allah)

Berbalik kepada isu di atas, aku menunggu keputusan kerajaan Malaysia berkenaan novel Interlok. Aku yakin ramai lagi masyarakat di luar sana yang sependapat dengan aku. Sekiranya kerajaan Malaysia tunduk dengan permintaan bukan-bukan daripada segelintir pihak itu, sesungguhnya kerajaan telah menzalimi sebuah karya terbaik dan penulisnya.

Keling. Sejak kecil kita sudah biasa dengan perkataan ini yang merujuk orang India. Aneh aku rasakan apabila mereka benci dan rasa hina dengan panggilan itu. Kenapa ya? Kata mereka ‘keling’ adalah panggilan hina bagi kasta rendah. Macam kata sekumpulan orang India yang piket di N9 beberapa minggu lepas. Mereka tidak mahu anak keturunan mereka dibelenggu lagi dengan sistem kasta hindu yang mencengkam hidup dan jiwa mereka. Lalu mereka minta perkataan keling dalam Interlok dihapuskan. Datok Abdullah Hussien dimaki sehabis-habisnya. Seolah seorang rasis dan tiada berjasa kepada negara. Mereka sungguh tidak peduli dengan sejarah, sedang Interlok ditulis 42 tahun yang silam. Menceritakan hikayat sebenar rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Dengan nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang baik.
Jika mereka begitu marah dengan Interlok, Jika amat bencikan 'keling' dan 'pariah' mengapa tidak marah dengan Tanjung Kling?




Masjid kapitan keling?

Kuih telinga keling?

Benua keling

Dan… kerajaan kalingga di India?
Apakah menteri-menteri berbangsa India hendak bawa perkara ini ke atas untuk dimansuhkan juga?
Macam beberapa orang besar kerajaan negeri Selangor mempertikaikan penggunaan tulisan jawi di papan tanda jalan yang dianggap mengelirukan...
ps: mengapa hendak biar Melayu terus mengalah dan hina di bumi sendiri demi menjaga hati kaum lain? bukan kah kita ini hidup saling hormat menghormati dan mengasihi antara satu sama lain...

ralat: Upsss... perkataan sensetif dalam interlok itu 'pariah'..... Namun aku memang hendak menulis tentang keling yang turut dirasakan sensetif oleh mereka

Sabtu, 27 Februari 2010

TERIMA KASIH YA RASULULLAH ATAS SEGALA JASA MU, SELAMAT HARI LAHIR WAHAI KEKASIH AGUNG...



Tarikh: 13 Rabiulawal(Sabtu)
Masa: 1.00 tengahari
Tempat: Di rumah baharu

RASULULLAH YANG UMMI

Semasa di sekolah rendah aku diajar oleh guru bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul yang ummi...
"apa maknanya?" tanya kami
"ertinya nabi yang tidak tahu membaca dan menulis" jawab guru itu. Sang guru juga menjelaskan tidak tahu membaca dan menulis itu bukan penghinakan bahkan satu bukti mukjizat Rasulullah yang mendapat ilmu laduni...ilmu yang diajar terus oleh Allah tanpa perantaran...
Sungguh,meski masih kecil hati ku masih ragu tentang erti sebenar ummi, hati kecil ku bersoal jawab sendiri...bukankah erti ummi itu ibu dan kalau begitu kenapa Allah menggelarkan baginda Nabi Muhammad sebagai ibu?...
Kini setelah 20 tahun berlalu, aku bersyukur kerana aku telah dapat jawapan yang tepat dan memuaskan hatiku...
Aku ingin berkongsi ilmu ini dengan semua agar kita dapat memahami dan menghayati amalan di dalam kehidupan. JUga dapat mengukuhkan cinta kepada kekasih agung yang menjadi manusia paling dicintai Tuhan ini...
Mari kita bersatu, mengejar status yang Allah janjikan kepada setiap insan di muka bumi ini...menjadi hamba dan khalifahNya...abid dan pejuang...
Mari kita perbanyakkan selawat ke atas baginda dan ahlulbait dan para sahabat seluruhnya...
YA Rasulullah, terima kasih atas iman dan Islam yang engkau berikan, terima kasih atas cinta Tuhan yang engkau sebarkan...Berikan kami rasa cinta kepada mu dan para kekasih mu agar cinta itu bersambung kepada Pemilik Cinta Agung, Allah SWT...
Salam Maulidurrasul Muhammad SAW...

Ulasan Maksud Ummi oleh Sy.I Hj Ashaari Muhammad :
Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status baginda Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang ummiy. Selama ini kita difahamkan bahawa ummi itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain, buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap baginda orang yang tidak belajar atau seorang yang bodoh. Ensiklopedia Barat juga mendefinisikan Nabi Muhammad sebagai seorang yang illiterate/buta huruf. Bagi orang yang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya, tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka dan sensitif, akan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud ummi itu. Mana mungkin seorang rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.
Maksudnya:
”(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…” (Al A’raf: 157)
Sebenarnya yang dimaksudkan ummiy itu ialah orang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan roh. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan dapat menjadi pandai.Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa, kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain. Bagi orang biasa, jika tidak mengikut kaedah ini, maka tidak akan menjadi pandai. Itulah lumrahnya. Tetapi itu adalah proses untuk manusia biasa.
Oleh kerana Rasulullah itu orangnya luar biasa, Allah pandaikan baginda tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Jadi Rasulullah sebenarnya seorang yang belajar tidak secara biasa tapi secara luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru atau belajar di sekolah. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasulullah tidak belajar. Sebenarnya maksud Rasulullah SAW itu ummiy ialah baginda itu tidak perlu kepada membaca dan menulis.



PERBAHASAN UMMI
Mari kita bahaskan pula perkataan ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada ‘ibu’.
1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. Jika tidak ada ibu, mana mungkin dapat melahirkan zuriat.
2. Bagi yang tidak bernyawa, ada juga yang disebut ibu. Contohnya, ibu roti. Daripada ibu rotilah dapat hasilkan roti. Itu disebut ibu juga.
3. Ibu secara batin atau maknawi pula mempunyai erti yang lebih hebat. Ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh, tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu pada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan ummiy iaitu belajar secara terus dari Tuhan. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.
Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendaki-Nya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ialah ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, ibu perpaduan dan lain-lain lagi kerana daripada segala ibu itulah, lahir ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, perjuangan dan lain-lain.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Al Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar Ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan.” (Asy Syu’ara: 192-194)
Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran ummiy tersebut ialah kerana rohnya atau Nur Muhammad adalah ciptaan Tuhan yang pertama. Dan dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, Syurga, Neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan Baginda dilantik menjadi Penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.
MUSUH-MUSUH ISLAM MENGELIRUKAN MAKSUD UMMIY
Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan dan mengelabukan pemikiran umat Islam dengan mengatakan bahawa:
“Rasulullah itu ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al Quran itu bukan dari tulisan Rasulullah.”
Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW. Akhirnya umat Islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan psikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat Islam menjadi umat yang mundur. Bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.
Usaha-usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah SAW memang telah sekian lama dirancang oleh para musuh Islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat Islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan disembunyikan.
Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa ummiy adalah satu mukjizat besar Rasulullah dan bukannya buta huruf, mari kita bahas lagi.
Mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al Fatehah dikatakan Ummul Kitab, kerana di dalamnya adalah intipati seluruh Al Quran, begitu jugalah dengan Rasulullah, di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepada Rasulullah itu adalah ibu segala ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan mata kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali kail yang teguh dan tahan serta peralatan yang gagah dan sesuai dengan ikan yang hendak dikail.Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan sepertimana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda diajar terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

Khamis, 11 Februari 2010

KESAYANGAN FATIMAH AZZAHRA

Tarikh: 27 Safar(Khamis)]
Masa: 4.00 ptg
Tempat: di rumah Mak Cek...

Tuan/Puan/Cik/Cikpuan...Bersempena bulan Rabiulawal yang makin mendekat, mari kita memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah tanda kita cinta amat kepada baginda. Allahumma solli ala Muhammad wa ala alihi wasahbi wassalam...

ANAK-ANAK CAHAYAMATA

Anak-anak itu aset ibubapa
akan jadi aset negara dan banga
Oleh itu, zaman kanak-kanaknya lagi
mereka itu hendaklah dijaga dengan sebaiknya

kalau di rumah ibubapalh yang mendidiknya
kalau di sekolah atau madrasah, guru-gurulah yang mendidik
didiklah mereka dengan iman serta kasih sayang
didiklah dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman

Oleh itu di masa kanak-kanak
jangan di manjakan atau di mewah-mewahkan
beri mereka iman dan kasih sayang
supaya mereka menjadi abid dan pejuang Allah
supaya mereka menjadi warganegara yang baik
di masa hadapan

dipetik dari album Diwani: Satu Cinta
penyanyi: Hasnol Jamal Sulaiman

Anak- anak itu nikmat Allah yang paling bahagia...AISYAH AL-HUMAIRA'

Ismatul Adibah, comelnya...wajah mu betul-betul mirip bondaku tercinta...

Alahai keletahnya dia...ya fuadi, ya habibati, ya qalbi, ana uhubbuki...Allahumma solli ala saidina Muhammad wa ala alihi Muhammad...



Fathiyatul Araanib, semoga akhlak mu indah seindah wajahmu. Semoga engkau mengulangi sejarah para wanita kekasih Allah. Begitu juga adik-adikmu...amin...FATIMAH AZZAHRA

Si kembar, Saedah Jalilah dan Saedah Jaaliyah. di usia 2 tahun

Jaaliyah, cunlah...huhu...MARYAM ASSADIQAH


Si cantik Jalilah, apabila bergaya, kepalanya teleng...KHADIJAH ALKUBRA


Sayyidah Nafisah yang sangat kreatif...tengoklah, habis disapunya bedak ke muka. Cam tepung gomak sudah bah...ASIAH AHLILLAH

XPDC ke zoo negara sebelum bersalinkan Ismah. Bersama suami, anak-anak dan adik-adikku. Aina dan Afiqah...
Hemm...kalau sudah kaki berjalan tu, sehari sebelum bersalin pun masih berjalan-jalan lagi...

kalau terlampau seronok beginilah jadinya...ah, anak-anak...

keluarga adalah sesuatu yang amat bernilai. Dalam al-Quran, Allah minta kita selamatkan diri kita, kemudian keluarga kita daripada api neraka. Alangkah ruginya orang yang tidak menyayangi keluarganya dengan iman dan lilmu di dunia. Sedangkan di akhirat semua hubungan keluargaan terputus melainkan hubungan kekerabatan dengan Rasulullah sahaja.

Isnin, 8 Februari 2010

CERITA-CERITI

















Anakku 'Ismah, di hari kelahirannya. Lahir-lahir sahaja sudah celik mata, moga celik hati juga. Jangan jadi seperti ibu mu yang selalu dibutakan oleh nafsu dan syaitan. Semoga anak-anakku jadi insan bertaqwa. Seperti Rasulullah, seperti Khadijah, seperti Fatimah Azzahra, seperti para kekasih Allah...amin...


Tarikh: 24 Safar(Isnin)
Masa: 12.50 tengahari
Tempat: Di bilikku

Oh ya, seperti yang aku janjikan, dalam diari ini aku hendak masukkan sekali cerita-cerita lucu dan cerpen-cerpen terpilih. Aku amat suka berkarya. Semenjak kecil lagi aku sudah berimpian hendak melihat Islam gemilang dan menyampaikan dakwah melalui penulisan terutamanya buat generasi muda termasuk anak-anakku kini. Inilah sahaja sumbangan yang mampu ku beri buat Islam. Namun begitu impian itu bukanlah timbul dari jiwa ku sendiri melainkan dipupuk dan dibajai oleh Guru Mursyidku tercinta. Orang yang mengenalkan aku kepada erti hidup dan mati hanya untuk Allah. Terima kasih tuan guru ku.
Aku bersyukur dibesarkan dalam sebuah keluarga dan jemaah Islamiyah. Seperti kata pepatah “bagaimana kuih, begitulah acuannya” Oleh sebab didikan Islam yang telah diterapkan kepada kami, hasilnya menyatu dalam diri kami sehingga dewasa dan didikan Islam yang sama jugalah yang kami praktikkan kepada anak-anak kami. Memang kita akui diri tidak pernah lekang daripada berbuat dosa. Bahkan di setiap satu langkah ini, pasti terpalit dengan dosa. Namun hati tetap berjuang melawan nafsu dan syaitan. Walau berkali-kali mencuba dan gagal lagi...Hati tidak putus asa kerana mengenangkan rahmat Tuhan itu Maha luas. Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang. Semoga Allah sudi mengekalkan kita semua di dalam iman dan Islam dengan berkat Rasulullah SAW dan semua insan-insan yang Dia cintai. Amin...

Cerita 1: BAHARU DUA KALI
Ah Chong baharu masuk Islam. Lalu dia dibawa oleh seorang ustaz bagi belajar sembahyang dan fardhu ain. Ah Chong belajar berwuduk sebelum sembahyang Zuhur berjemaah.
Ustaz: Allahu Akbar. (Rakaat pertama mula)
Ah Chong: Putt… (kentut)
Ustaz: Allahu Akbar. (Rakaat tiga)
Ah Chong: Putt (kentut lagi)
Assalamualaikum warahmatullah
Ustaz: (Rakaat akhir tamat)
Ustaz: Kenapa kamu tidak berhenti selepas terkentut? Bukankah kita sudah belajar kentut membatalkan wudhuk? Tidak ada wuduk, batal solat...
Ah Chong: Kita ambil wudhuk tiga kali, ma...? saya baru kentut 2 kali. Wudhuk yang ketiga belum batal lagi!
(Biar betul!)

Cerita 2: ASH@ABU@BAPA???
Kakak: kelakarlah nama watak utama lelaki drama tadi. Nama dia Ash!
Adik: kenapa pula?
Kakak: yalah, perkataan inggeris ‘ash’, erti bahasa melayunya bermaksud abu
Adik: (ketawa) jadi si gadis cantik itu bercinta dengan si ‘abu’ lah. Abu bara atau abu arang ya? Tetapi bahasa arab pun ada perkataan ‘abu’, apa makna dalam bahasa melayu?
Kakak: erti ‘abu’ ialah ‘bapa’!!
Adik: (ketawa kuat) itu lagi lawak, bercinta dengan si bapa. Bapa orang atau bapa ayam?!
Haru-biru....

Cerita 3: HALKUM
Seorang Mat gian tidak tahan hendak ‘menghisap’. Tetapi tidak ada duit mahu beli ‘bekalan’. Di dalam keadaan mamai itu, ia nampak seorang perempuan memakai emas jalan lenggang-lenggok. Dia lantas meragut perempuan itu. Malang nasibnya perempuan itu menyerangnya dengan jurus silat. Semasa disoal siasat di balai, Mat gian berkata:
“Saya sangka dia perempuan yang lemah tetapi masa dia serang saya dari jarak dekat, bila terpandang halkumnya, saya tidak dapat pastikan samaada dia perempuan atau jantan...” si penyoalsiasat ketawa besar mendengarnya.
* Ciri-ciri akhirzaman ini sabda Rasulullah SAW banyak benda pelik akan jadi. Contohnya ‘perempuan’ yang bukan perempuan dan ‘lelaki’ yang bukan lelaki.






anak-anak orang asli di Selangor. Ya Allah, berilah hidayah dan taufiq kepada mereka semua.

Cerita 4: RM2 vs RM10
Sarip Dol membeli petai dengan orang Asli di Pahang.
Sarip: Berapa seikat harga petai ini?
Orang Asli: RM2
Lantas Sarip Dol mengeluarkan not RM10 dua keping.
Sarip Dol: Bagi aku sepuluh ikat (unjuk duit).
Orang Asli: Aku beri kau 10, kau beri aku duit 2 sahaja? Sedikit benarrr!!
Sarip Dol bingung. Dia dapat ilham, lantas segera mengeluarkan not RM1 dua puluh keping.
Sarip Dol: Nah, duitnya!
Orang Asli: Wuiih… banyaknya! Terima kasih!!!
* Asal fitrah manusia itu baik, tetapi jadi jahat kerana hasutan nafsu dan syaitan. Dari situ penyakit cinta dunia pun melanda.

Cerita 5: SI BODOH SOMBONG
Si pemiutang: Bila kau hendak bayar hutang aku yang RM12 000 itu?
Si penghutang: Aku belum cukup duit.
Si pemiutang: Baiklah. Beri aku kahwin dengan anak kau. Hutang langsai, ya pak?
Si penghutang: Aku setuju. Tetapi aku mana ada duit mahu buat kenduri?
Si pemiutang: Berapa kosnya?
Si penghutang: Satu kepala RM13.50 + pelamin + belanja kahwin + jurugambar + penanggah + duit minyak + duit upah dalam RM25,000 sahaja.
Si pemiutang: Emmm…esok datang ambil cek!!
(Apa sudah jadi? Siapa bayar siapa ini?)
*Jika kita jadi orang jahat yang bodoh sombong, porak perandalah hidup. Tetapi mana pula hendak dicari orang baik yang bodoh sombong?


gambar Araanib, Jalilah, Jaaliyah, Nafisah dan sepupu Nabilah Husna bersama datuk mereka Dr. Fadil Usman di Johor. Semoga anak-anak ini menjadi seindah Fatimah Az-Zahra... hidup jangan sombong ya sayang... :)

Sabtu, 6 Februari 2010

Mengapa manusia dihidupkan- bahagian II



Tarikh: 22 Safar(Sabtu malam)
Masa: 10:23 malam
Tempat: di ruang tamu, dikelilingi anak-anak dara suntiku...

Allah menciptakan di dalam diri manusia ini dengan 4 anasir. Hati/roh, akal, nafsu dan jasad. Tanpa salah satu daripadanya, bukan manusialah kita, ini kerana Allah menjadikan haiwan tanpa akal dan Allah menjadikan malaikat tanpa nafsu. Jika kita tidak menggunakan akal anugerah Allah ini untuk mengenal, mencintai dan mentakutiNya, hinalah kita, malah lebih hina daripada haiwan. Tetapi jika kita menggunakan akal dan roh kita sepenuhnya untuk mengenal, mencintai dan mentakuti Allah subhanahu wa taala, maka Allah akan memuliakan manusia itu lebih daripada para malaikatNya.
Setelah kita tahu apakah tujuan kita dihidupkan, seterusnya sudah tentu Allah menyediakan cara atau uslub bagi kita membangunkan diri kita ini. Namun begitu tidaklah Allah membiarkan manusia itu mencari-cari sendiri jalan-jalan untuk sampai kepadaNya. Bahkan Allah yang Maha pengasih dan Maha Penyayang telah mengutuskan para nabi, para rasul dan para wali-waliNya di sepanjang zaman untuk memimpin manusia, menjadi contoh ke jalan kebenaran.

Pembangunan Insan


1. Peranan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi (di dunia).
2. Agar dia benar-benar berperanan di dalam dua tanggungjawab ini, insaniah manusia ini hendaklah dibangunkan.
3. Ada empat anasir di dalam diri manusia yang hendak difahami dan mesti dibangunkan iaitu:

i. Fizikal
ii. Mental/akal
iii. Jiwa/roh/hati
iv. Nafsu

i. Membangunkan fizikal manusia:
- makan minum
- kebersihan lahir
- kesihatan
- latihan fizikal
- tidur
a. Makan minum:
i. Jangan berlebih-lebihan
ii. Jangan terlalu kurang
iii. Secara sederhana
iv. Yang ada zat
v. Kunyah lumat-lumat
vi. Programkan makan

b. Kebersihan lahir:
i. Dari najis
ii. Daripada kekotoran/fudhul

c. Kesihatan:
i. Jangan memakan minum yang memudaratkan
ii. Jangan terlalu banyak makan
iii. Kawasan yang bersih
iv. Rumah yang selesa
v. Rumah yang bersih
vi. Sederhana jimak
d. Latihan fizikal:
i. Yang memberi manfaat kepada bangsa dan negara seperti bertani, mengembara, membuat kajian, menunggang kuda, berenang, memanah.
e. Tidur
i. Tidur jangan terlalu banyak dan jangan terlalu kurang
ii. Waktu tidur qailulah dan selepas Isyak
iii. Jangan di waktu selepas Asar dan Subuh dan di waktu lepas makan.

ii. Membangunkan mental:
i. Dengan ilmu
ii. Dengan pengalaman

Dengan ilmu:
a. Ilmu fardhu ain
b. Ilmu fardhu kifayah
c. Ilmu yang harus
Mendapatkannya dengan guru, membaca, muzakarah.

Dengan pengalaman:
Semua hal seperti masyarakat, iklim, ekonomi, kebudayaan dan adat-istiadat, caranya:

i. Mengembara
ii. Membuat kajian
iii. Perhatian di dalam sebarang kejadian
iv. Mengetahui pengalaman orang lain dengan membaca dan mendengar
ii. Membangunkan roh/hati
i. Dengan iman:
Iman terbahagi dua; yang asas dan penyuburnya
ii. Membaiki hati dengan memahami fitrah semulajadi
iii. Setelah faham, membuat latihan-latihan.

iii. Mendidik nafsu:
Nafsu terbahagi tujuh:

i. Ammarah
ii. Lawwamah
iii. Mulhamah
iv. Mutmainnah
v. Radhiah
vi. Mardhiah
vii. Kamilah

Nafsu kena dibuat latihan riadhatunnafs. Hendak merawat roh kita ini kita memerlukan guru yang bertaqwa (mursyid).