[cerpen] BUKAN HIPOKRIT




BUKAN HIPOKRIT - oleh Fatimahazzahra
.
“Dengar khabar Nurul tidak makan di kantin asrama?”
“Ya, saya makan di café...”
“Kenapa tidak mahu makan di kantin asrama? Tidak sedap?”
“Hemm…kucing pun tiada selera mahu makan jika menunya asyik ulang yang itu-itu sahaja…” suara Nurul Alia keras sedikit. Matanya menjeling tajam bagaikan melepaskan geram. Tetapi dia tidak berani bertentangan mata dengan Cikgu Adil. Helma di sisinya terkulat-kulat menunggu reaksi sang guru.
Cikgu Adil menerima kritikan murid tingkatan lima itu dengan lapang dada. Sekurang-kurangnya kritikan itu membuka matanya tentang apa yang disukai dan tidak disukai pelajar. Cikgu Adil baharu sahaja diberi tanggungjawab menjaga kebajikan penuntut-penuntut yang tinggal di asrama.
“Baiklah, InsyaAllah saya akan cuba mengubah jadual menu mengikut apa yang terbaik buat pelajar-pelajar. Saya harap Nurul bolehlah berkerjasama dengan saya halal menyediakan menu yang halal dan berzat. Halalan thoyyiban” Cikgu Adil cuba menyejukkan hati Nurul Alia.
“Maafkan saya cikgu, saya tiada hak memandai-mandai mengubah menu makan di sini. Tetapi saya ada prinsip saya sendiri. Jika saya tidak suka sesuatu, itu hak saya. Saya tidak akan ubah hanya kerana menjaga hati orang lain atau takut dimarahi” Nurul Alia bersuara tegas.
“Baiklah...” Hampir hendak terhambur ketawa Cikgu Adil melihat gelagat Nurul Alia. Amboi garangnya. Tidak apalah, dia budak baharu.
“Saya suka orang yang berpendirian tegas macam Nurul” dia memandang muridnya itu dengan senyuman manis. Tiba-tiba Nurul Alia termalu sendiri. Namun dengan susah payah dia cuba menyembunyikan riak wajahnya.
“Oh ya, lagi satu saya mahu beritahu Nurul, pelajar tidak boleh keluar dari kawasan asrama tanpa keizinan. Saya beri peluang sekali lagi kepada Nurul. Jika saya dapat aduan lagi tentang perkara ini. Saya terpaksalah bawa kepada pihak atasan”
Cis, meluat Nurul Alia mendengar gertakan gurunya itu. Apa aku peduli? Hilang terus perasaan malu-malunya tadi, berganti pula geram dan menyampah. Nurul Alia menarik Helma keluar dari bilik guru dan segera berlari menuruni anak tangga.

(2)

Pelajar-pelajar tingkatan lima Angkasa mengambil tempat masing-masing ketika Ustazah Sakinah masuk ke kelas. Ketua kelas lantas mengetuai para pelajar bangun dan memberi salam hormat kepada Ustazah Sakinah. Guru yang berusia pertengahan 40an itu. Terbuntang matanya memandang seseorang.
“Hah Nurul Alia, tidak faham-faham dengan amaran saya selama ini? Saya kata, pelajar perempuan yang enggan mengenakan tudung semasa kelas agama, sila timggalkan kelas ini!!” Nurul Alia buat muka selamba sahaja. Dia tidak pernah takut dan peduli dengan sesiapa.
“Awak memang tidak takut dosa? Peperiksaan yang akan datang, jika awak masuk ke kelas tidak bertudung juga, saya ingat awak tidak payah ambil periksa lagi baik…” hati Ustazah Sakinah membara bila Nurul Alia buat endah tidak endah sahaja dengan amarannya. Pelajar-pelajar lelaki di barisan hadapan ada yang ketawa-ketawa kecil sesama sendiri. Manakala ada di kalangan pelajar perempuan yang tersenyum sini mengejek.
Bagi Nurul Alia. Itu semua tidak menjadi kudis padanya. Negara ini ada kebebasan bersuara. Tidak mati pun sekiranya dimarahi oleh Ustazah Sakinah itu. Lagi pula negara ini ada undang-undang. Mana boleh sekat pelajar ambil peperiksaan sebab tidak pakai tudung. Silap haribulan dia boleh saman Ustazah Sakinah. Menangis tidak berlagu nanti perempuan tua itu.
“Nurul, aku rasa kau keras sangatlah…” Helma kawan baiknya melontarkan pandangan di suatu petang. Mereka duduk membaca buku di taman depan asrama sambil makan goreng pisang panas. Enak sekali.
“Oh, kau mesti mahu cakap fasal tudung kan? Eh, cuba kau perhatikan berapa orang pelajar perempuan yang betul-betul tutup aurat di asrama ini? Tidak sampai sepuluh orang termasuk kau. Yang lain semuanya ‘minah celup’ sahaja. Mereka pakai tudung ikut suka hati. Bukan ikut syariat Tuhan pun. Bila ada peluang keluar ke bandar ramai yang togel sahaja kepalanya. Masa sidai kain atau melepak di balkoni asrama pun tidak pakai tudung. Ada yang pakai tudung tetapi baju sendat, seluar ketat. Atau pakai tudung tetapi pergi dating, berpeluk cium dengan jantan. Atau pakai tudung tetapi sekejap sembahyang sekejap tidak. Lepas itu suka buat fitnah dan mengumpat. Buat apa aku jadi penipu macam itu?”
“Aaaaaaaaarrgghhhh……………………!!!”
“Hei, kenapa kau menjerit pula ini?” Nurul Alia tergamam melihat Helma menjerit sambil memekup telinganya.
“Aku macam tidak percaya aku bercakap dengan Nurul Alia. Aku ingatkan aku bercakap wali Allah tadi!” usik Helma gila-gila
“Kurang asam jawa, kau perli aku ya?!” terhambur tawa mereka berdua.
“Andai Ustazah Sakinah dengar tadi, mesti tidak teragak-agak dia ambil kau jadi menantunya”
“Ah, merepek betullah…!!”
“Ya, kau tahu rupanya Cikgu Adil itu anak sulung kepada suami Ustazah Sakinah.” Helma memandang Nurul Alia dengan senyuman penuh makna.
“Biar betul??!”
“Betul. Ustazah Sakinah itu janda anak dua kemudian kahwin dengan ayah Cikgu Adil yang merupakan duda beranak lapan...” Nurul Alia ternganga. 8+2=10 orang anak? Oh...sungguh memeranjatkan. Helma sekadar tersengih. Angin sepoi-sepoi petang itu terasa sesejuk salji menampar pipinya.
“Hei, kau ok tidak? Kenapa tiba-tiba pucat lesi?” Helma menepuk-nepuk pipi Nurul Alia.
“Beritahu aku yang cerita kau itu rekaan semata-mata?!” Helma membalas dengan ketawa senang. Nurul Alia sudah masuk perangkapnya.
“Aku sudah agak kau memang ada hati dengan Cikgu Adil. Dia handsome kan…”
“Eh, tolong sikit ya. Sekarang ini kita tengah bercakap tentang cerita kau yang ‘pelik bin ajaib’ itu. Cerita keluarga 69. Tak ada kena-mengena dengan aku ya!” Nurul Alia menolak bahu Helma. Langit petang mula beransur kelam. Mereka berdua bangun dan bergerak pulang ke asrama bersama saki baki tawa yang belum habis.

(3)

“Ada apa cikgu panggil saya?” hari ini kali yang kedua Nurul Alia mengadap muka Cikgu Adil selepas perjumpaan bulan lepas. Mereka bertemu di bilik kaunseling. Tetapi bukan hanya berdua. Helma juga dipanggil sama. Helma galak mengusik sepanjang perjalanan tadi. Hati Nurul Alia pun turut berdebar kencang. Memang tidak dinafikan dia senang dengan perhatian cikgu muda itu kepadanya. Tetapi mulutnya tidak pernah mengakui.
“Saya mahu minta menu yang Nurul kata akan tolong senaraikan” pinta Cikgu Adil
“Err…” Allah, macammana ini? Aku lupa langsung tentang itu. Aku ingat dia bergurau sahaja. Detik hati Nurul Alia
“Maaflah cikgu. Saya tidak janji pun mahu buat. Cikgu wajibkan saya buat tugasan itu kah?” Cikgu Adil ketawa. Nurul Alia menggaru kepala yang tidak gatal.
“Pandai awak bagi alasan ya. Sebenarnya saya mahu bagi awak sesuatu”
“Apa dia?”
“Hadiah hari lahir” pandangan Cikgu Adil seperti membakar jiwanya. Syaitan oh syaitan, licik betul permainan kalian. Pantas menyelit di mana-mana ruang. Dia memang suka tetapi begitu malu diperlakukan begitu di depan Helma. Huluran hadiah dari guru itu tidak bersambut. Nurul Alia terasa seperti dipermainkan oleh Cikgu Adil. Adakah Cikgu Adil betul-betul hendak luahkan perasaan cinta dalam kawasan sekolah ini? Dia tidak takut dikenakan tindakan tatatertib kah? Atau sengaja mahu menggatal tidak tentu fasal?
“Ah...”Nurul Alia gementar, lantas tergesa-gesa berpaling ingin keluar dari bilik itu.
“Nurul Alia!!”
Hari beransur petang. Minggu peperiksaan telah pun berakhir. Penat mengulangkaji pelajaran dan memerah otak bagi menjawab soalan pun sudah tamat. Meskipun Nurul Alia tidak mengambil peperiksaan pendidikan Islam, tetapi dia tidak menyesal. Dia buat begitu bukan atas desakan Ustazah Sakinah atau sesiapa. Tetapi kehendaknya sendiri. Kebetulan pada waktu itu juga dia diserang batuk yang teruk. Bunyi batuknya yang seperti mesin pengisar uzur itu pasti akan mengganggu kosentrasi orang lain. Ustazah Sakinah ada memberitahu, dia bersedia memberi Nurul Alia peluang untuk mengambil peperiksaan ulangan. Gadis itu tidak ambil pusing sangat.
Hari ini tercipta satu sejarah yang menggemparkan kelas tingkatan lima Angkasa, bahkan seluruh sekolah Menengah Sri Juara. Nurul Alia hadir ke kelas dengan mengenakan sepasang kurung sekolah berserta tudung putih berseri. Semua pelajar tidak terucap apa-apa. Melainkan memandang dengan kagum dan bersorak semangat untuknya. Ramai juga yang mengucapkan tahniah. Namun bukan itu yang Nurul Alia inginkan. Dia berniat, mengenakan hijab kerana Allah taala.
Selepas waktu rehat, semasa kelas agama Islam, Ustazah Sakinah lebih-lebih lagi terkejut. Tidak pernah para pelajar melihat ustazah yang teramat tegas dan garang menjadi jinak dan begitu lembut. Bahkan dia memberikan gred A bagi peperiksaan pendidikan Islam yang tidak diduduki Nurul Alia. Kata Ustazah Sakinah, dengan sanggup membuat perubahan itu dan mempraktikan ilmu syariat, Nurul Alia sudah lulus kertas peperiksaannya. Semua pelajar menerima dengan hati terbuka dan gembira.

(4)

Bagi Nurul Alia hadiah pemberian Cikgu Adil sebelum minggu peperiksaan dahulu menjadi titik tolak semuanya. Selama seminggu ini dia telah berfikir dengan teliti dan bersedia membuat keputusan muktamad. Masih segar peristiwa itu dalam ingatannya.
“Nurul Alia!!!”
“Apa?!” dia berpaling kepada Cikgu Adil.
“Jangan terburu-buru. Cikgu jujur memberikan hadiah ini. Apa kata Nurul buka dahulu dan tengok isinya?” langkah Nurul Alia mati di situ. Dia tidak jadi keluar dari bilik kaunseling. Helma juga memegang tangannya seperti memujuk. Lambat-lambat dia berjalan lantas mengambil hadiah di tangan Cikgu Adil. Dia mengoyak pembalut bungkusan hadiah yang cantik itu dengan cermat.
“Tudung?” suaranya terdengar perlahan. Dia memandang guru itu dengan bingung. Di dalam kotak itu terdapat dua helai tudung. Sehelai berwarna putih dan sehelai lagi tudung berwarna merah jambu dan bercorak indah. Dia tidak mengerti.
“Selamat hari lahir yang ke 17. Semoga dirahmati Allah dan dipimpin ke jalan kebenaran” ucapan Cikgu Adil terdengar begitu ikhlas.
“Cikgu sindir saya?” Huh, mak dengan anak sama sahaja.
“Semua yang terjadi ada hikmahnya. Nanti Nurul akan faham apa yang Tuhan mahu ajar kepada Nurul. Ilmu banyak tiada berguna andai tidak diamalkan. Hati kita akan jadi tenang, lapang dan bersih apabila kita berusaha mengamalkan perintah Allah dan tinggalkan laranganNya. Kita perjuangan syariatNya. Berpakaianlah dengan cara yang sepatutnya. Pakaian adalah amat penting dan perlu diambil perhatian. Pakaian mencerminkan peribadi seseorang muslim dam muslimah”
“Kebaikan hati dan perbuatan seseorang bukan setakat diukur pada pakaian sahaja, ustaz!” Nurul Alia sedikit mengejek, cuba menangkis kebenaran kata-kata Cikgu Adil.
“Betul kata Nurul. Tetapi pakaian yang terdedah sana-sini, pakaian lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki adalah melanggar hukum Allah. Kita tidak dapat lari dari penilaian Allah.”

“Yang penting hati kita cikgu, Allah tidak menilai seseorang hambaNya melalui pakaian. Tetapi apa yang tersirat dalam hatinya!” Nurul Alia belum mahu kalah. Namun guru muda itu mula mengalah. Dia tersenyum. Dia sedar kini Nurul Alia seorang yang berilmu dan faham dengan apa yang diperkatakannya. Cuma dia lemah hendak menolak godaan duniawi.

“Nurul cerdik, dapat membezakan intan dan kaca. Dapat membezakan yang baik dan yang jahat. Antara kebaikan yang diperintahkan dan kemungkaran yang Allah tegah. Mengapa masih mahu mempertahankan ego kita? Kembalilah kepada Allah. Tuhan murka dengan orang yang berilmu tetapi tidak beramal. Tempatnya di neraka lebih dalam dari orang kafir sendiri”

Nurul Alia terdiam. Cikgu Adil juga diam. Bagaikan ada malaikat yang lalu kata orang tua-tua.
“Tentu cantik andai Nurul pakai pakaian muslimah. Macam Helma ini” Cikgu Adil cuba memancing dengan gurauan. Helma tersenyum sedikit. Nurul Alia terus berdiam diri. Sesungguhnya ucapan-ucapan Cikgu Adil meruntun hati kecilnya. Tidak pernah ada sesiapa yang begitu berani bahkan dalam masa yang sama begitu lemah lembut mengajaknya mentaati perintah Tuhan. Hati jatuh cinta dengan kalimah kebenaran. Hati jatuh cinta dengan kebaikan Allah yang Maha Pengampun. Hati jatuh cinta pada Tuhan. Dia tertunduk lantas menitiskan airmata.
“Pintu taubat masih terbuka, Nurul. Taubatlah dengan taubat nasuha. Saya dan semua guru-guru sudi membimbing para pelajar yang mahu berubah kepada kebaikan.” Cikgu Adil memujuk lembut bagai seorang ayah memujuk anaknya. Nurul Alia memandang Cikgu Adil dengan mata yang berkaca-kaca. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu hatinya berkata
“Ya Allah, aku bertaubat pada Mu”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENCINTAI AHLULBAIT SUMBER RAHMAT BUAT UMMAT

MARHABAN YA RASULULLAH